Kalau tengok tajuk ni, apa kena mengena tandas dengan bakar? Nak bakar
tandas ke? Haha. Sebenarnya ada sebab nak cerita tentang tajuk ni. Agak kelakar
jugaklah.
Ceritanya macam ni. Dulu masa sekolah menengah rendah (1 – 3), aku
kan bersekolah di Sekolah Menengah Agama (Arab) Parit Sulong. Sekolah pulak
sesi petang. Tingkatan 1, aku masih bersekolah agama sebelah pagi, darjah 6
waktu tu. Ini sekolah agama kerajaan negeri punya.
Masa aku di tingkatan 2 dan 3 pulak, aku masih bersekolah sebelah
petang. Jadi, sebelah pagi, aku tak adalah buat apa sangat. Cuma kadang-kadang
tolong abah aku tolak kereta sorong yang penuh dengan kelapa sawit kalau dah
sampai waktu petik tandan sawit tu.
Lagi, dah sekolah sebelah petang, jadi waktu pagi tu, aku akan
basuh baju. Macam-macam baju. Kalau rajin, basuh baju semua yang ada kat dalam
bilik air tu. Kalau tak berapa nak rajin, basuh baju aku sendiri lah. Haha.
Baju aku yang aku basuh sendiri tu antaranya baju sekolah aku lah.
Seluar slack warna biru gelap dan kemeja putih lengan panjang. Masa tu
lah aku belajar dengan mak aku macamana nak nila baju. Guna nila serbuk tau,
bukan nila yang cecair tu. Silap bancuh, mau bercapuk baju tu nanti. Dah nak
kena bersihkan balik baju tu.
Selain tolong abah tolak kereta sorong tu, biasanya, aku pergilah
jugak temankan emak pergi menoreh getah. Rasanya masa tu, mak aku ambil upah menoreh
getah di kebun getah kepunyaan orang Cina. Baik keluarga Cina tu. Kalau masa
Raya Cina, macam-macam dia bagi. Biasanya makanan ringan macam gula-gula, jajan
dan macam-macam lagilah. Sampai sekarang kalau terjumpa, ada lah jugak
bertegur.
Okey, kita balik ke tajuk tandas nak terbakar tu. Haha. Ceritanya bermula
bila aku gunakan tandas tu. Kalau kau orang nak tahu, tandas kampung ni
biasanya letaknya kat belah luar rumah. Masa tu, jarang rumah yang buat tandas
kat dalam rumah. Ada tu ada tapi tak banyak. Yang biasanya, tandas kat luar
rumah. Tak lah jauh. Biasanya adalah dalam 10 meter dari dapur tu dan biasanya
tandas ni dibina kat belakang rumah. Ha, lupa pulak. Bilik air pun kat luar
rumah. Cuma biasanya bilik air kat depan rumah.
Nak jadikan cerita, satu hari tu, masa aku tengah buang air tu
(mestilah buang air, takkan makan nasi lemak dalam tandas), tengok-tengok ada
lilin dengan mancis kat tepi dinding tu. Aku pun apa lagi, aku hidupkanlah api
lilin tu guna mancis tadi. Boleh kan masa buang air siap main api. Haha.
Lepas dah siap buang air tu, aku pun keluarlah dari tandas tu. Apa
lah, takkan nak duduk lama-lama dalam tandas. Kan tak elok sebab dulu-dulu ada
ustazah aku bagitau kalau duduk lama-lama dalam tandas, nanti syaitan akan
tonyoh tahi kat kepala kita. Tu yang belajar pun tak pandai-pandai. Katanyalah.
Nak tau tak, aku keluar dari tandas tu tanpa padam balik api lilin
tu. Kalau tak silap masa tu aku ke sekolah lepas dah siap buang air dan mandi
tu.
Nak jadikan cerita, malam tu masa tengah makan dengan famili aku,
mak aku cerita yang kalau tak, tandas rumah aku terbakar siang tadi. Emak aku tanya
siapa yang hidupkan lilin tapi tak padam. Terus aku teringat aku lah yang hidupkan
api lilin tu. Mengaku je lah. Nasib baik tak terbakar tandas tu. Kalau tak, kat
mana aku nak memerut kalau kena sakit perut tengah-tengah malam. Haha.
Itulah antara kenangan aku masa kecik-kecik dulu. Nakal pun ya
jugak tapi aku baik. Kalau dibuatnya tandas rumah aku tu terbakar, mahu heboh
sekampung Am anak Pak Imam Kusni bakar tandas. Haha.
Menulis seadanya
Sekadar suka-suka
Agar aku tak terlupa
Kenangan yang telah tercipta